Saturday, April 26, 2008

Beban kerja guru

Pagi tadi kawan saya pergi mesyuarat jawatankuasa untuk melaksanakan suatu aktiviti di sekolahnya. Apabila ia balik kelihatan begitu kecewa dengan pihak pengurusan sekolahnya kerana beban kerja bertambah. Apabila saya berbincang secara kasar untuk melihat apakah masalah yang sebenarnya ataupun kawan saya yang bermasalah dengan pihak pengurusan. Apabila saya fikirkan perkara ini saya rasa ada beberapa perkara yang tidak kena dengan sistem persekolahan kita dan pihak pengurusan sekolah. Pihak pengurusan sekolah menjadi tenggelam punca kerana kebanyakan arahan aktiviti diberi oleh pihak pengurusan daerah menyebabkan aktiviti menjadi banyak walaupun setengah aktiviti tadi tidak begitu penting kepada pelajar. Pihak pengurusan daerah juga kadang tidak memahami keadaan kerja di sekolah. Apabila arahan aktiviti ini sampai kepihak sekolah, pihak sekolah pula akan buat sebaik mungkin kerana ia juga merupakan imej sekolah yang perlu dijaga( atau imej pengetuanya). Kebanyakan penerima arahan ini adalah jenis manusia “Yes man” kerana kehidupan di Malaysia telah dilatih menjadi orang “Yes man” dan orang “Yes man”ini kebanyakan yang menerajui sistem pentadbiran di Malaysia sehingga dalam sistem politiknya. Jika kita tidak menjadi “Yes man” kita perlu ada kekuatan untuk menerima padahnya. Apa yang malangnya adalah guru dan pelajar. Beban guru semakin bertambah, guru akan menjadi cepat marah kerana banyak tekanan. Kerja guru tidak berkualiti kerana kerja tergesa-gesa dan hanya untuk memenuhi impian penerima arahan. Kesannya pada pengajaran guru menjadi lebih parah. Guru hanya mengajar kerana ia terpaksa masuk kelas dan mengajar. Guru tidak lagi merancang pengajaran terutama bagi guru-guru yang lama di mana bahan pengajaran sentiasa berada dalam kepala. Bagi guru sains pula lagi sedih kerana mereka terpaksa bersedia dengan pengajaran menggunakan B.I pula. Buku-buku latihan pelajar sudah tentu tidak lagi menjadi keutamaan pada guru untuk melihatnya. Sedih bila kita lihat sistem pendidikan kita sudah kelam kabut. Pelajar tidak berminat sangat untuk belajar kerana pengajaran guru tidak lagi menarik dan menyebabkan ramai pelajar tidak bersedia untuk pergi ke sekolah.
Peperiksaan sudah tentu menjadi keutamaan bagi menunjukkan sekolah kita yang berjaya walaupun kita sendiri rmeragui kerana terlalu mudah untuk dapat A. Di manakah penunjuk aras yang digunakan pakai bagi menentukan seorang boleh mendapat A atau pun tidak. Setiap tahun sekolah yang berjaya mendapat banyak menjadi popular walaupun sekolah hanya mengadakan latih tubi untuk pelajar berjaya. Guru-guru pula dipaksa untuk hadir memberi kelas tambahan supaya pelajar dapat A. Waktu mengajar guru sudah bertambah lagi, begitu juga dengan kerja guru. Kebanyakan pengetua mengunakan teknik kerja kerana Allah dan untuk membantu bangsa.
Mengapa tidak kita dapat minima kerja guru supaya kerja mereka lebih berkualiti. Ini perkara yang kita perlu lihat bersama bukan mendapat gaji yang banyak tetapi hidup tidak sempurna.

Saturday, April 12, 2008

Orang Melayu

Terima kasih kepada yang beri komen, saya tak berapa cekap nak kemaskan blog.

Bilakah orang melayu dapat menguasai dunia ini?. Bilakah ada nama saintis Melayu yang berjaya membuat teori baru. Bilakah kitab-kitab besar ditulis oleh orang Melayu. Ini merupakan persoalan yang selalu tertanya di dalam kepala saya. Dimanakah silapnya orang Melayu. Semangkin lama semangkin hilang indentiti mereka. Orang melayu malu pada diri mereka, nak pakai kopiah pun segan, nak pakai kain pelikat berjalan di ibu kota nanti apa kata orang, nak cakap melayu masa nak daftar hotel risau kut orang kata tak pandai bahasa Inggeris. Nak pergi pejabat pakai baju melayu orang kata nak kahwin. Universiti semakin banyak, tapi semakin kurang guna bahasa Melayu walaupun banyak prof. orang melayu. Bila tenguk tv macam duduk negeri barat dan kadang-kadang macam balik negeri cina.

Sunday, March 30, 2008

Isu BI

Baru-baru ini saya telah pergi berkursus menjadi pengadil dalam satu sukan, saya rasa sudah tiba masa orang melayu menggunakan BM sepenuhnya bila berada di Malaysia dan bercakap dengan orang Malaysia. Rasa merasa hairan juga apabila menyebut perkara yang penting dalam sukan tersebut terpaksa menggunakan BI, mengapa sampai tahap sebegitu sehingga apabila hendak menyebut sesuatu terpaksa menggunakan BI, tidakkah ada BM yang boleh digantikan. Orang Melayu nak guna BM sendiri ia ragu-ragu dan ia merasakan tak begitu standard. bercakap dengan pemain pun digalakan menggunakan BI, walaupun pemain tersebut orang Malaysia. Ini adalah salah satu sebab orang tak boleh pergi jauh bermain diperingkat antarabangsa kerana ada sifat tak suka dengan budaya sendiri atau pun tidak ada jati diri. Sudah tentu apabila ia pergi keluar negeri ia tidak akan menggunakan BM. Di Malaysia ia tak mahu guna, ini pula apabila berada diluar negeri. Saya rasa sudah masa pemimpin berfikir tentang perkara begini, sampai bila orang Melayu malu dengan diri mereka sendiri. BI hanya untuk mencari ilmu bukan untuk berbangga-bangga dengannya. Keputusan peperiksaan yang baru ini juga menunjukkan ada peningkatan dalam subjek sains walaupun menggunakan BI. Ini bukanya pentunjuk yang baik tetapi menunjukkan semakin hilang keyakinan kita terhadap bahasa kita sendiri.

Wednesday, March 19, 2008

Isu Bahasa Inggeris

Isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains (PMSI) sudah lama, tetapi saya masih ingin hendak mengulasnya. Saya sampai sekarang hairan mengapa pengajaran matematik dan sains dibuat dalam B.I. Saya pernah cakap dekat guru B.M bahawa sedikit masa lagi kemungkinan anda tidak diperlukan lagi kerana orang tidak merasakan B.M itu penting. Sekarang ini kalau orang tidak pandai BM, orang rasa tidak ada masalah malah mungkin ia lebih dipandang tinggi lagi tapi jika ia tidak pandai B.I terasa ia sebagai satu kekurangan kepada orang tersebut. Sejak (PMSI) dimulakan buku-buku sains BM semakin hari semakin hilang, istilah-istilah sains yang telah diwujudkan dahulu pun semakin ditelan zaman. Contohnya, mungkin sedikit hari lagi istilah daya tidak akan difahami oleh orang melayu kerana mereka lebih faham dengan force. Istilah ini mungkin tinggal hanya dalam kamus dewan sahaja sebagai rujukan. Itu pun jikalau ada orang nak menggunakannya. Satu perkara lagi, sekarang ini siapa yang hendak menulis buku sains tidak akan menulis didalam BM kerana tiada pembelinya. Tamatlah riwayat istilah-istilah sains dalam BM, sungguh menyedihkan nasib BM.
PMSI ini juga akan menyebabkan pelajar-pelajar kita akan pandai berbahasa Inggeris dan sudah tentu mereka amat berminat membaca terutama bahan-bahan yang berbahasa Inggeris kerana biasanya bahan-bahan berbahasa Inggeris ditulis oleh orang-orang yang tinggi pengetahuannya. Sedikit masa lagi surat khabar BI akan menjadi pilihan bagi orang melayu yang ingin nak jadi orang Inggeris. Surat khabar BM juga akan jadi surat khabar Utusan Melayu yang dibaca oleh orang-orang yang ingin belajar tulisan jawi sahaja. Kasihan juga syarikat-syarikat surat khabar BM ini, mereka pun terpaksa menerbitkan surat khabar BI. Habislah Bahasa Melayu.
Baru-baru ini saya menonton satu rancangan TV dan saya lihat rancangan ini dikelolakan oleh orang melayu tetapi ia bercakap inggeris. Saya hairan dekat siapakah yang ia ingin sampaikan , saya rasa cara ia bercakap itu macam nak tuju kepada orang-orang melayu kalau orang putih sudah tentu ia sendiri tidak berminat menontonnya kerana rancangan mereka lebih daripada rancangan itu. terfikirlah dalam kepala saya orang melayu bercakap dengan orang melayu tetapi menggunakan BI. Apa nak jadi, dimana nilai BM dikalangan orang-orang melayu. Nak kata orang Melayu dah maju, saya tenguk nak buat cubin pun terpaksa gunakan orang Cina kerana orang Melayu tidak mahir. Begitu juga apabila mengajar matematik dan sains kepada pelajar melayu kita juga menggunakan BI, cikgu melayu anak muridnya melayu tetapi cakap orang putih, entahlah apa nak jadi. Mereka kata kut tak boleh maju kalau tak pandai BI. Apa yang saya lihat pelajar-pelajar yang kita ajar menggunakan BI ini, bukannya nak kemana pun setakat kerja dekat negeri orang melayu sahaja. Entahlah orang Melayu ini, memang suka buat kerja yang menyusahkan duri sendiri sedangkan hasilnya tak seberapa. Bila guru menggunakan BI semasa mengajar maka terkial-kial guru tersebut untuk bercakap, banyak pula persediaan yang harus guru buat untuk mengajar, bukannya untuk buat persediaan menggunakan teori-teori yang baru tetapi nak menukar BM kepada BI. Letihlah guru tersebut dan semakin banyaklah kerja yang sudah tersedia banyak. Suasana pembelajaran pula agak tegang kerana masing-masing kurang fasih dengan BI. Lawakpun tak jadi, pelajar pula segan nak tanya takut kut BI tak kena. Mengapa tak, kita cakap melayu sahaja kalau nak guna buku BI gunalah tak perlu susah-susahkan kepala nak bercakap dalam BI. Perkara ini macam pemakaian talileher di sekolah-sekolah, kesian kadang-kadang saya lihat pelajar dengan suhu hampir 35 darjah dan berpeluh terpaksa pakai talileher sedangkan bukan dapat pahala pun bila pakai tali leher.

Saturday, March 15, 2008

Keputusan SPM

Keputusan SPM telah dikeluarkan, maka banyaklah sekolah mendapat kejayaan yang bagus-bagus. Pengetua pun tumpang gembira apabila sekolah mereka mendapat keputusan yang baik, sudah tentu nama mereka menjadi tumpuan pihak-pihak atasan. Apa yang menghairankan saya ialah bagaimana sekolah tersebut mendapat keputusan yang baik. Ada yang saya dengar daripada rakan-rakan yang mengatakan mereka membuat kelas tambahan pada waktu malam dan guru-guru dikehendaki hadir pada malam yang telah diperuntukan disamping itu mereka juga memberi soalan-soalan untuk pelajar mereka buat pada setiap petang. Boleh dikatakan hampir setiap pelajar akan membuat kerja yang telah cik gu rancangkan. Saya rasa jikalau begitu, sudah sepatutnya pelajar akan berjaya dengan baik kerana mereka telah belajar seperti mana telah dirancangkan oleh guru-guru yang agak berkemahiran. Satu perkara yang menyedihkan ialah apabila kita menghadiri seminar semua ahli seminar mengatakan perkara sebegini bukanlah satu perkara yang baik pada pelajar kerana mereka telah diatur oleh guru sebegitu rupa supaya mereka berjaya dalam peperiksaan.
Apa yang saya nampak, ialah guru-guru dan pengetua perlu berfikir lebih jauh lagi iaitu bagaimana untuk melahirkan kualiti pelajar yang baik, bukan setakat menghasilkan pelajar yang berjaya dalam peperiksaan. Mengapa tidak kita perkemaskan kaedah pengajaran kita dengan menggunakan teori-teori atau pendekatan yang yang terbaharu. Kita juga sepatut memperkemaskan cara belajar pelajar, bagaimana mereka mengaturkan jadual waktu belajar mereka, bagaimana pembacaan mereka dan bagaimana mereka dapat membentuk kualiti hidup yang lebih baik.
Kadang-kadang saya terfikir apakah sebenarnya yang guru harapkan daripada seorang pelajar ataupun guru dan pengetua mempunyai cita-cita tersendiri dan menggunakan pelajar untuk mencapai cita-cita mereka.